top of page

ATM TINGKATKAN USAHA DEMI BANTU CAPAI SASARAN 90% GOLONGAN DEWASA DIVAKSIN LENGKAP DAN PICK REMAJA



1. Pada 22 September 2021, YAB Perdana Menteri telah umum bahawa pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan serta aktiviti rentas negeri akan dibenarkan apabila kadar vaksinasi lengkap dewasa mencapai 90 peratus.


2. Sehubungan itu, saya telah arah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) demi memastikan lebih ramai orang awam menerima vaksinasi lengkap dalam masa terdekat sekaligus membolehkan sasaran 90 peratus segera dicapai.


3. Antara tindakan segera yang akan dilaksanakan ATM ialah mengaturgerak lebih banyak Combat Medic Vaccination Team (CMVT) untuk membantu KKM memberi suntikan vaksin kepada orang awam di kawasan-kawasan pedalaman. Selain itu, saya juga telah meminta ATM memperluaskan program vaksinasi pandu lalu yang dilaksanakan bagi warga ATM dan awam MINDEF sebelum ini untuk turut dimanfaatkan orang awam yang tinggal berhampiran kem tentera.


4. Dalam pada itu, bagi menjayakan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja terutama yang berumur 12 hingga 17 tahun pula, ATM akan memanfaatkan keupayaannya untuk membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempercepatkan pemberian vaksin kepada pelajar menjelang pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat tidak lama lagi.


5. Pada 20 September 2021, ATM telah memulakan Program Vaksinasi ‘Back To School’ yang mana saya sendiri bersama Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin turun memantau pemberian vaksin kepada pelajar tingkatan 4 dan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur.


6. Selain itu, ATM khususnya Tentera Darat Malaysia (TDM) juga telah memulakan program vaksinasi secara pandu lalu kepada golongan remaja pada 23 September 2021. Sebagai permulaan, tumpuan diberikan kepada seramai 13,800 remaja yang bukan sahaja terdiri daripada anak anggota TDM dan anak warga awam MINDEF tetapi juga anak orang awam yang belajar di sekolah-sekolah di dalam kem TDM. Ia meliputi 31 lokasi di dalam kem TDM di seluruh negara iaitu 21 di semenanjung Malaysia serta 10 di Sabah dan Sarawak.





7. Untuk hari ini sahaja di Kem Ulu Tiram, seramai 372 remaja menerima suntikan dos pertama vaksin meliputi anak anggota TDM, anak kakitangan awam MINDEF dan anak orang awam yang bersekolah dalam kem TDM.


8. Semasa sesi taklimat tadi, saya telah meminta ATM khususnya TDM memberikan tumpuan khas kepada pelaksanaan program vaksinasi pandu lalu ini agar dapat dilaksanakan mengikut perancangan. Ia penting demi memastikan kesemua 13,800 remaja yang disasarkan di bawah program vaksinasi TDM secara pandu lalu ini selesai menerima dos vaksin lengkap masing-masing menjelang hujung Oktober 2021.



YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN

MENTERI KANAN PERTAHANAN

25 SEPTEMBER 2021

bottom of page