top of page

MENYAKSIKAN 4 BUAH LITTORAL MISSION SHIP TLDM


1. Hari ini saya mulakan lawatan kerja ke Sabah selama 2 hari. Tumpuan lawatan ini adalah kepada 3 perkara iaitu Penerimaan Kapal Littoral Mission Ship (LMS), OPERASI MURNI (OPS MURNI) Sabah serta Agenda Keselamatan dan Pertahanan Sabah.


2. Lawatan saya dimulakan dengan penerimaan empat (4) buah LMS yang juga merupakan aset terbaharu milik TLDM di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu. Ia kemudian diteruskan dengan taklimat daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta beberapa agensi berhubung situasi banjir di negeri Sabah bersama Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor.


3. Di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu tengahari tadi, empat LMS yang telah saya saksikan adalah:


i. LMS 1 atau Kapal Diraja (KD) KERIS:

- Penyerahan fizikal pada 31 Disember 2019

- Ditauliahkan pada 6 Januari 2020


ii. LMS 2 atau KD SUNDANG:

- Penyerahan fizikal pada 14 Januari 2021

- Ditauliahkan pada 5 Mac 2021


iii. LMS 3 atau KD BADIK:

- Penyerahan fizikal pada 14 September 2021

- Ditauliahkan pada 22 Oktober 2021


4. Manakala, LMS 4 yang juga paling terbaharu dinamakan sebagai RENCONG. Ia baru tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 28 Disember tahun lalu. Penyerahan fizikal RENCONG telah dilaksanakan pada 18 Disember 2021 di Qidong, China.


5. RENCONG bakal melalui satu lagi detik bersejarah yang mana ia akan menerima pentaulihan pada 28 Januari 2022. Sebaik sahaja ditauliahkan, RENCONG bakal dikenali sebagai KD RENCONG seterusnya akan menyertai Skuadron LMS Ke-11 yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.


6 Misi utama skuadron kapal ini adalah bagi menangkis ancaman asimetri, pengawasan kawasan operasi, rondaan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), tugas-tugas sokongan kepada Military Operation Other Than War (MOOTW) serta sebagai platform sokongan kepada tugasan dalam keadaan aman, konflik mahupun perang.


7. Untuk makluman, LMS merupakan salah sebuah daripada lima (5) kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada 15 to 5. Kontrak perolehan 4 buah LMS ini telah dimeterai di antara Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC). Projek Perolehan ini merupakan Projek Perolehan aset pertahanan kapital yang pertama daripada negara China.




8. Keberadaan keempat-empat LMS di dalam negara khususnya di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu hari ini cukup bermakna bagi TLDM. Ini kerana, ia bukan sahaja menandakan kesemua LMS telah selesai diterima oleh TLDM dalam tempoh yang ditetapkan.


9. Malah perkara yang lebih penting, TLDM kini boleh melaksanakan sepenuhnya perancangan mereka menerusi LMS ini khususnya di bawah Program Transformasi 15 to 5 bagi mengukuhkan lagi kawalan keselamatan di perairan negara. Ini bersandarkan keupayaan LMS yang sememangnya diperolehi berdasarkan pendekatan Fit For Purpose, antaranya:


i. Direka khas untuk melaksanakan pelbagai tugas di kawasan pesisir pantai termasuklah aktiviti rondaan dan pemantauan.


ii. Mampu menjadi platform sokongan kepada Tim Quick Reaction Force (QRF) terutama di perairan Sabah Timur yang tidak dapat disokong oleh kapal-kapal TLDM kecil yang lain.


iii. Mampu melaksanakan operasi untuk tempoh 15 hari tanpa ulang bekal.


iv. Berkeupayaan untuk menampung beban sehingga 750 tan.


v. Boleh memuatkan 7 pegawai dan 38 anak kapal dalam satu-satu masa.


vi. Mampu beroperasi pada jarak 2000 batu nautika dengan kelajuan maksimum 22 knot.


10. Menerusi keupayaan LMS ini juga, TLDM akan manfaatkan dengan sebaik mungkin demi mengukuhkan lagi tahap keselamatan di kawasan perairan Sabah. Ini termasuklah melalui peningkatan rondaan bagi menangani kegiatan jenayah rentas sempadan seperti kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui jalan laut serta menangani aktiviti pelanunan. LMS ini hanya sebahagian. Terdapat beberapa lagi perancangan khusus demi keselamatan Sabah dan akan saya maklumkan dari masa ke masa.


11. Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan keempat-empat LMS yang telah diterima oleh pihak TLDM. Bagi pihak Kerajaan khususnya MINDEF, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang berusaha bertungkus-lumus demi memastikan perolehan LMS ini dapat disempurnakan mengikut perancangan.


12. Saya secara peribadi turut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga TLDM atas perolehan 4 buah LMS ini. Menerusi taklimat kepada saya sebentar tadi, saya yakin bahawa TLDM sebagai end user yang menyuarakan hasrat untuk memperolehi LMS berkeupayaan dan telah mempunyai perancangan khusus untuk memanfaatkan sepenuhnya aset ini demi kepentingan keselamatan negara.


YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN

MENTERI KANAN PERTAHANAN

13 JANUARI 2022

bottom of page