top of page

MESYUARAT MENTERI KUARTET COVID-19 CAPAI MATLAMAT BUKA SEMULA NEGARA SECARA SELAMAT DAN BERPERINGKAT

1. Saya baru sahaja selesai mempengerusikan Mesyuarat Ke-16 Menteri Kuartet COVID-19. Penting untuk saya maklumkan, mesyuarat hari ini juga merupakan Mesyuarat Menteri Kuartet yang terakhir selepas kali pertama diadakan pada 14 September tahun lalu.


2. Sepanjang 9 bulan ini, Mesyuarat Kuartet telah menjadi antara pendekatan utama khususnya dalam usaha Kerajaan untuk membuka semula negara secara berperingkat dan selamat atau Reopening Safely. Matlamat utama Kerajaan di sebalik usaha ini adalah bagi membolehkan rakyat kembali dapat menjalani kehidupan seharian secara hampir normal serta belajar hidup bersama virus COVID-19.


3. Ini penting memandangkan kira-kira setahun setengah sebelum itu, ketika negara dan dunia sedang berusaha memahami dan mengkaji tentang COVID-19, rakyat juga terpaksa hidup dengan pelbagai bentuk sekatan yang ketat terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. Kerajaan ambil maklum bahawa ia memberi tekanan kepada banyak pihak serta sektor dan ia tidak boleh dibiarkan berlanjutan terlalu lama.


4. Namun untuk memastikan usaha Reopening Safely ini dapat dijayakan, ia bukan perkara yang mudah. Cabarannya besar sekaligus memerlukan banyak usaha dilaksanakan dan pelbagai pihak daripada Kementerian, agensi Kerajaan dan sektor swasta perlu dilibatkan.


5. Secara umumnya, di peringkat awal, Kuartet telah memberi tumpuan kepada usaha pembukaan semula sektor pendidikan secara berperingkat dan selamat seterusnya membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran kembali diadakan menerusi kaedah bersemuka di sekolah.


6. Dalam masa yang sama, Kuartet juga memperhalusi kaedah yang sesuai dan selamat untuk merancakkan semula sektor ekonomi serta membuka semula secara berperingkat dan selamat pelbagai lagi sektor lain termasuk sektor pelancongan, sektor pekerjaan, sektor industri dan pembuatan serta sektor sukan.


7. Pembukaan sempadan negeri dan negara secara berperingkat turut menjadi antara fokus utama Kuartet. Ini juga rumit memandangkan ia melibatkan pergerakan keluar masuk negeri dan negara dalam skala yang besar. Namun, hasil usahasama semua pihak termasuk rakyat sendiri, sempadan negeri telah dapat dibuka pada Oktober tahun lalu selepas kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa telah mencapai 90%.


8. Manakala sempadan negara juga telah dibuka secara berperingkat terutama menerusi skim Vaccinated Travel Lane (VTL) dan pembukaan sepenuhnya sempadan negara juga telah dapat dilaksanakan pada 1 April lalu.

9. Secara keseluruhannya, sejak Mesyuarat Menteri Kuartet diwujudkan, negara kini telah memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik, 181 SOP yang digunapakai sejak Mac 2020 kini hanya tinggal 1 SOP asas dan 9 garis panduan; semua sektor telah dibuka; setiap perayaan telah dibenarkan untuk disambut; pelitup muka juga sudah tidak diwajibkan di tempat terbuka; malah, check-in menggunakan MySejahtera juga sudah tidak lagi menjadi kewajipan.


10. Situasi ini sekaligus merumuskan bahawa usaha-usaha yang dibuat oleh Kuartet telah membolehkan kehidupan seharian rakyat telah kembali kepada situasi hampir normal sekaligus menepati matlamat awal penubuhan Kuartet.


11. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua ahli tetap Kuartet khususnya 4 Menteri termasuk saya sendiri; Menteri Kesihatan, Menteri Kewangan serta Menteri Komunikasi dan Multimedia atas komitmen yang tinggi serta kerjasama yang amat baik sejak dari hari pertama bermesyuarat. Tidak dilupakan juga, Menteri yang turut dilibatkan secara berkala iaitu Menteri Kanan Kerja Raya, Menteri Kanan Pendidikan, Menteri Pengajian Tinggi, Menteri Pengangkutan, Menteri Sumber Manusia, Menteri Perpaduan Negara, Menteri Luar Negeri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya serta Menteri Belia dan Sukan.



12. Terima kasih juga Majlis Keselamatan Negara sebagai peneraju dan semua 29 agensi serta pasukan beruniform yang terlibat termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia kerana cukup komited demi memastikan setiap perancangan Kuartet dapat dimplementasikan dengan sebaik mungkin.


13. Paling utama, saya bagi pihak Kuartet mengucapkan tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh ahli Keluarga Malaysia kerana sentiasa memahami dan menyokong setiap ikhtiar Kerajaan dalam memerangi COVID-19. Melangkah ke hadapan, seperti telah dinyatakan beberapa kali sebelum ini, Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula sekatan besar-besaran. Justeru, diharapkan 1 SOP dan 9 garis panduan yang digunapakai ketika ini diamalkan dengan sebaik mungkin. Kekal berdisiplin, jaga kebersihan diri dan terus pakai pelitup muka apabila berada di kawasan tertutup demi keselamatan diri dan ahli keluarga.



PENGERUSI MESYUARAT MENTERI KUARTET COVID-19

MERANGKAP MENTERI KANAN PERTAHANAN

18 MEI 2022

bottom of page