PENULARAN VARIAN OMICRON - KAWALAN SEMPADAN ANTARABANGSA DIPERKETATKAN



1. Mesyuarat Kuartet ke-9 hari ini memberi tumpuan kepada Variant Of Concern (VOC) Omicron yang kita ambil maklum sedang menular ke seluruh dunia. Kita juga memahami bahawa Omicron sememangnya berisiko kerana ia boleh merebak dengan lebih mudah dan pantas namun ia masih boleh dikesan melalui ujian makmal sedia ada.


2. Buat masa ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang membuat pemantauan rapi dan kesemua ahli mesyuarat Kuartet hari ini juga telah diberi taklimat oleh Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin mengenai tindakan segera yang telah diambil oleh KMM dan pendekatan seterusnya dalam masa terdekat berkaitan varian baharu ini.


3. Biarpun belum ada kes varian ini dilaporkan di negara kita, KKM seperti diumumkan pada 27 November lalu, telah melaksanakan tindakan awal iaitu:


i. Pengembara warga Malaysia yang merancang lawatan ke tujuh negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe tidak dibenarkan meneruskan perjalanan mereka.


ii. Sekatan sementara kepada semua warganegara asing yang ada sejarah perjalanan ke negara terbabit dalam tempoh 14 hari ini daripada memasuki Malaysia.


iii. Warganegara Malaysia dan pemegang pas penduduk tetap yang pulang ke Malaysia dari negara-negara terbabit dibenarkan memasuki negara, namun dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi serta tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.




4. Bukan itu sahaja, KKM juga sedang mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai tempoh inkubasi, gejala dan kebolehjangkitan. Namun sementara itu, penting untuk saya maklumkan bahawa Kerajaan akan mengenakan kawalan sempadan antarabangsa yang lebih ketat ke atas negara-negara yang telah melaporkan penyebaran varian Omicron. KKM akan mengumumkan perkara ini secara terperinci tidak lama lagi.


5. Setakat ini, Kerajaan ambil maklum bahawa varian ini bukan sahaja telah menular di Selatan benua Afrika, tetapi juga di beberapa buah negara antaranya, Itali, Denmark, Australia, United Kingdom, Belgium dan Hong Kong.


6. Susulan penularan varian ini, buat masa ini, SOP semasa dalam negara untuk negeri-negeri dalam Fasa 3 dan 4 masih kekal.


7. Tetapi penting untuk saya maklumkan, buat masa ini juga, Mesyuarat Kuartet telah memutuskan untuk menangguhkan seketika (pause) usaha kita untuk beralih ke Fasa “Peralihan ke Endemik' sehingga kita mengetahui lebih lanjut tentang VOC Omicron.


8. Saya ingin menasihatkan orang ramai agar terus berwaspada dan berdisiplin dalam menjaga keselamatan diri dan orang sekeliling. Antara perkara utama yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko pendedahan kepada virus, antaranya:

i. Dapatkan vaksin, termasuk dos penggalak

ii. Pakai pelitup muka

iii. Jaga penjarakan fizikal

iv. Cuci tangan atau gunakan hand sanitizer selalu

v. Etika batuk dan bersin

vi. Elakkan tempat yang sesak dan sempit

vii. Pastikan pengudaraan yang baik

viii. Amalkan TRIIS


9. Semakin ramai orang dijangkiti, peluang untuk virus COVID-19 mengalami mutasi menjadi semakin tinggi dan varian baharu boleh terhasil.



YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN

PENGERUSI MESYUARAT MENTERI KUARTET COVID-19

MERANGKAP MENTERI KANAN PERTAHANAN

30 NOVEMBER 2021