RESPON TERHADAP LAPORAN PAC BERHUBUNG PEROLEHAN LCS


Menghadiri prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 25 Januari 2022 di Bangunan Parlimen

Saya ambil maklum dapatan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai projek Littoral Combat Ship (LCS) yang dikeluarkan tengahari tadi. Kami sendiri di pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah memberi kerjasama penuh dan sentiasa telus semasa menghadiri prosiding-prosiding dan proses siasatan yang dilakukan PAC.


Reaksi awal saya berhubung perkara ini adalah MINDEF dan semua pemegang taruh (stakeholders) akan meneliti laporan tersebut secara terperinci dan semestinya akan mengambil kira kesemua syor yang dikemukakan PAC dalam meneruskan projek LCS selepas ini.


Seperti dimaklumkan pada April lalu, Kabinet juga telah bersetuju dengan Pelan Pemulihan Projek LCS yang membenarkan tempoh mobilisasi dilaksanakan selama enam (6) bulan bagi membolehkan rundingan dibuat dengan pihak OEM dan vendor seterusnya memuktamadkan perancangan ke hadapan perolehan LCS seperti yang dimahukan serta diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).


Kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Tadbir Urus Khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan (MOF) serta Ketua Setiausaha MINDEF. Jawatankuasa ini ditugaskan memantau secara dekat terutama proses mobilisasi dalam tempoh enam (6) bulan ini dan melaporkan perkembangannya kepada Kabinet.


Berhubung kelemahan dan penyelewengan, saya konsisten menegaskan bahawa siapa jua yang bersalah tetap bersalah. Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih sedang berjalan dan ini bermakna pihak yang terlibat salah laku dalam projek sebelum ini tidak akan terlepas begitu sahaja.

PAC sendiri telah mengesyorkan supaya SPRM mempercepatkan siasatan dan menyegerakan pendakwaan. Siapa jua yang bersalah pasti akan dihadapkan ke muka pengadilan.


Melangkah ke hadapan, perkara paling penting sekarang ialah untuk memastikan projek LCS ini dapat diteruskan dengan lancar. LCS aset yang amat diperlukan demi keselamatan perairan negara, sejajar dengan Program Transformasi Armada 15 to 5, dan demi kepentingan TLDM.