top of page

STATUS TERKINI LCS: KABINET SEBULAT SUARA LULUS PROJEK PEROLEHAN LCS DITERUSKAN

1. Dalam usaha menyelesaikan isu perolehan kapal Littoral Combat Ship (LCS), ia satu perjalanan yang panjang dan mencabar. Sesi PAC mengenai LCS telah diadakan sebanyak 10 kali di mana saya sendiri dipanggil menghadap PAC pada 25 Januari lalu selain telah menjawab soalan tentang LCS di Dewan Rakyat sebanyak 10 kali.


2. Selain itu, mendapatkan konsensus dan kerjasama semua pihak berkepentingan dalam Jawatankuasa Khas Kabinet yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato’ Seri Mustapha Mohamed termasuk Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Naval Shipyard (BNS), Implementation Coordination Unit (ICU), Economic Planning Unit (EPU) dan Jabatan Peguam Negara juga merupakan salah satu usaha yang amat penting.


3. Sesi lawatan tapak di Lumut, Perak pula telah diadakan sebanyak 9 kali oleh stakeholders utama - 2 kali oleh Menteri Pertahanan sebelum ini (YAB Dato’ Sri Ismail Sabri dan YB Mohamad Sabu), sekali oleh Jawatankuasa Khas Kabinet, sekali oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, sekali oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan 4 kali oleh LTAT, Ketua Setiausaha (KSU) serta Timbalan KSU.


4. Alhamdulillah, selepas segala usaha dan pendekatan ini, hari ini menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan YAB Perdana Menteri, Kabinet sebulat suara memuktamadkan supaya projek perolehan LCS diteruskan.



5. Keputusan ini dibuat Kabinet setelah mengambil kira dua faktor utama:-


i. Pertama, LCS sememangnya aset yang amat dimahukan dan diperlukan oleh TLDM. Bukan sahaja untuk memenuhi perancangan pemodenan TLDM di bawah Transformasi 15 to 5, malah lebih penting untuk meningkatkan kesiapsiagaan pasukan armada kita serta menambahbaik usaha memelihara kepentingan maritim negara. Saya percaya keputusan hari ini dapat meningkatkan lagi moral dan semangat anggota TLDM untuk terus berjuang demi kedaulatan tanah air.


ii. Kedua, terdapat 400 vendor yang terlibat dalam projek ini dengan implikasi kewangan lebih RM4 billion. Daripada jumlah ini:


· Lebih 100 daripadanya adalah syarikat milik rakyat Malaysia. 90% daripadanya ada hubung kait dengan veteran.


· Majoriti mereka berada di Lumut terutama pekerja berkemahiran/pakar/ahli keluarga mereka.


6. Jadi, keputusan ini juga merupakan sebahagian daripada usaha membela kebajikan veteran ATM, isteri, anak serta ahli keluarga mereka. Saya ambil maklum, vendor-vendor ini mengikuti rapat perkembangan usaha menyelesaikan isu LCS ini dan mereka pastinya gembira dengan keputusan ini.


7. Dengan keputusan ini, tiada lagi persoalan sama ada perolehan LCS akan diteruskan ataupun tidak. Kini, semua pihak yang berkepentingan boleh bergerak ke hadapan dan fokus untuk menjayakannya.


8. Paling penting, setiap mekanisma penambahbaikan yang dicadangkan khususnya oleh Jawatankuasa Khas Kabinet harus dilaksanakan sebaik mungkin supaya perancangan dan garis masa yang ditetapkan kali ini dapat ditepati sepenuhnya.


9. Komitmen lebih besar ialah memastikan segala isu ketirisan sebelum ini tidak berulang. Semua pihak yang terlibat kali ini khususnya BNS yang sedang diterajui pengurusan baru mesti memainkan peranan masing-masing dengan telus dan bertanggungjawab.


10. Kelulusan Kabinet ini hanyalah peringkat permulaan yang baik. Namun, terdapat beberapa lagi langkah ke hadapan untuk melangkapkan Pelan Pemulihan antaranya “Proses Mobilisasi” dalam tempoh 6 bulan mendatang. Ini akan melibatkan rundingan antara bank, vendor dan pihak OEM. Tidak terkecuali, rundingan dengan pihak Perancis daripada segi reka bentuk dan komitmen Kerajaan Perancis. Ini semua bermula sekarang.


11. Dalam masa yang sama, agensi-agensi lain yang berkaitan termasuk SPRM juga digesa untuk mempercepatkan peranan masing-masing bagi memastikan setiap proses yang perlu dilalui berjalan lancar.


12. Kabinet akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Tadbir Urus Khas yang bakal dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan serta KSU Kementerian Pertahanan. Jawatankuasa ini ditugaskan memantau secara dekat terutama proses dalam tempoh 6 bulan mendatang dan melaporkan perkembangannya kepada Kabinet pada setiap bulan.


13. Saya juga ingin tegaskan, keputusan meneruskan projek LCS tidak bermakna pihak yang terlibat salah laku dalam projek sebelum ini akan terlepas begitu sahaja. SPRM telah menahan reman dua CEO sebelum ini dan SPRM juga digesa untuk percepatkan siasatan. Siapa jua yang bersalah pasti akan dihadapkan ke muka pengadilan.


14. Perincian lebih lanjut tentang bagaimana projek ini akan diteruskan akan dimaklumkan dari masa ke masa.



YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN

MENTERI KANAN PERTAHANAN


20 APRIL 2022

bottom of page