HAL EHWAL ANTARABANGSA, KESATUAN YANG LEBIH TEGUH


1. Sebagai Menteri Luar Negeri, saya sudah melihat sendiri bagaimana pandemik COVID-19 telah membentuk semula diplomasi antarabangsa yang sekian lama dipratikkan, melebihi apa yang telah kita lihat sejak Perang Dunia Kedua.


2. Pandemik global ini telah memperlihatkan dunia menjadi 'lebih kecil' dan ‘lebih besar’ secara serentak. Rakyat terpaksa berkurung di rumah demi keselamatan orang lain. Tetapi pada masa yang sama, kita juga bergantung kepada masyarakat antarabangsa untuk mencari penawar, membangunkan polisi untuk keperluan awam, serta memastikan rantaian bekalan tetap bergerak sebaiknya.


3. Salah satu tragedi paling dasyat ialah - pandemik sepatutnya menyatukan dunia yang sedang berdukacita, tetapi sebaliknya lebih memisahkan kita. Negara-negara kaya masih mendominasi, sementara yang lain terus tersisih, termasuklah dalam perihal keperluan awam seperti akses yang saksama terhadap vaksin.


4. Beberapa perkembangan dalam perkara ini mula meyakinkan, dengan G7 baru-baru ini berjanji satu billion vaksin akan diedar ke seluruh dunia. Ini selari dengan pendirian Malaysia yang konsisten bahawa vaksin mestilah mempromosikan kerjasama antarabangsa dan bukannya persaingan nasionalisme. Virus ini tidak melihat warna kulit mahupun kepercayaan; dan tiada sesiapa akan selamat sehinggalah semua orang selamat.


5. Pandemik global ini telah menyerlahkan bahawa dunia dan negara-negaranya amat saling bergantung harap: kita tidak boleh memikirkan tentang 'nombor satu' kerana nasib kita selalunya sangat berhubung kait dengan jiran tetangga serta sekutu kita.


6. Ini membawa kepada perkara pertama, iaitu perkembangan di Myanmar. Walaupun kita menghargai pengiktirafan antarabangsa mengenai peranan dan inisiatif ASEAN untuk mengurangkan ketegangan, menghentikan keganasan dan mengelakkan berlakunya peningkatan situasi di lapangan, namun kita di ASEAN harus realistik dengan matlamat kita.


7. Dua bulan lepas, para Pemimpin ASEAN bertemu di Jakarta menerusi satu mesyuarat bersejarah – saling bertekad untuk menangani masalah ini demi keselamatan dan keamanan serantau. Hasilnya, para Pemimpin mencapai kesepakatan penting iaitu 'Konsensus Lima Perkara'.


8. Konsensus ini bermakna bagi ASEAN untuk terlibat dalam usaha membantu Myanmar kembali ke situasi normal - menegaskan kembali sokongan teguh untuk peralihan demokratik, proses perdamaian, serta pembangunan ekonomi inklusif di negara berkenaan. Namun kita harus akui, perkembangan daripada 'Konsensus Lima Perkara' ini sangat perlahan, dan masyarakat antarabangsa sedang ternanti-nanti tindakan lanjut ASEAN dalam perkara ini seterusnya menterjemahkan penambahbaikan yang kukuh di Myanmar.




9. Perkara kedua yang saya dan Kementerian banyak fokuskan ialah tragedi serta kedukaan yang berpunca daripada pertempuran demi kawasan dan nasionalisme. Saya jelas merujuk kepada pertumpahan darah dan kehilangan nyawa di Palestin.


10. Kita telah lihat apa yang berlaku di lapangan - orang awam Palestin terbunuh; kanak-kanak dan wanita diserang; rumah dan bangunan musnah sepenuhnya. Apa yang berlaku di Gaza dan yang terjadi di Tebing Barat sebelum ini melangkaui penjelasan. Ia merupakan jenayah terhadap kemanusiaan dan rejim Zionis Israel harus dipersalahkan.


11. Walaupun gencatan senjata merupakan langkah penting untuk mencegah lebih banyak kehilangan nyawa dan kemusnahan, namun kita harus memahami realitinya - rakyat Palestin terus ditindas; penangkapan secara besar-besaran masih dilakukan; dan penempatan haram sedang diperluaskan.


12. Perjuangan rakyat Palestin telah berlarutan selama lebih 70 tahun, namun amat menyedihkan melihat Palestin mendapat perhatian secara 'bermusim'. Iaitu hanya apabila ketegangan meletus dan masyarakat antarabangsa mengambil perhatian. Isu Palestin bukan satu trend dan kita tidak sepatutnya berhenti bercakap mengenainya.


13. Inilah sebabnya mengapa Malaysia bersama rakan kongsi di peringkat serantau dan antarabangsa sedang fokus terhadap usaha bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin serta pembinaan semula Gaza.


14. Saya bangga melihat rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat bersatu menyokong perjuangan Palestin. Sama ada melalui pengumpulan dana, menyebarkan kesedaran mahupun sekadar menzahirkan sokongan. Kami mendengar keprihatinan orang ramai sama ada dana yang disumbangkan benar-benar sampai ke pihak yang sepatutnya di Palestin. Sebab itu, Kementerian saya bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dalam usaha pengumpulan dana. Dana yang terkumpul akan disalurkan terus ke Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin bagi membantu membeli peralatan perubatan yang sangat diperlukan.


15. Perkara ketiga – saya mahu menyentuh mengenai Laut China Selatan. Menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Luar Negeri, saya turut berpandukan pengalaman ketika saya Menteri Pertahanan sebelum ini, terutamanya perkara berkaitan Laut China Selatan yang bukanlah isu baru bagi saya dan pasukan. Namun mendekati isu ini memerlukan pendekatan berbeza berbanding portfolio saya sebelum ini.


16. Saya ingin menegaskan bahawa Malaysia sentiasa konsisten dalam perihal berkaitan Laut China Selatan - ia mesti diselesaikan secara aman dan konstruktif, sesuai dengan prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa yang diperakui secara universal, termasuk UNCLOS 1982.


17. Biarpun ramai pemerhati sekadar melihat pertikaian ini berdasarkan garis dan titik yang bersilang serta menyimpang pada peta, namun dalam landskap hubungan antarabangsa, semua elemen perlu dianalisa melalui kaca mata geopolitik, dengan mengambil kira kekuatan, geografi dan kepelbagaian. Ia mesti dikendalikan secara aman dan rasional, melalui dialog dan rundingan, serta menggunakan saluran forum dan diplomatik yang sesuai.



18. Menguruskan sebarang pertikaian memerlukan diplomasi yang teliti antara pihak yang mengetuai institusi hal ehwal luar dan keselamatan di negara-negara yang berkenaan. Keseimbangan geopolitik di rantau kita, terutama antara Amerika Syarikat dan China adalah dinamik, dan tiada negara yang tidak terkesan. Adalah kurang bijak jika seseorang bersikap tidak peka, tidak ambil peduli kerumitan dan kedinamikan jangka panjang hubungan luar negeri. Itulah sebabnya, saya menghabiskan banyak masa dan tenaga serta bersabar dalam usaha memupuk hubungan dengan beberapa orang rakan sejawat. Dalam dunia diplomasi, isu-isu seperti ini lebih mementingkan hasil melalui kesabaran berbanding terburu-buru serta pertimbangan berbanding tindakan.


19. Adanya kebijaksanaan dalam menahan desakan daripada menjadi terlampau terburu buru.Pepatah mengatakan, "Jika Ingin Pergi Dengan Cepat, Pergi Sendiri. Sekiranya Mahu Pergi Jauh, Pergi Bersama. "


20. Dalam dunia di mana kita semua saling bergantung harap - tiada negara yang benar-benar sebuah pulau - kita perlu mengumpul sumber dan membandingkan kelebihan antara pelbagai negara untuk bersama-sama menyelesaikan masalah yang kompleks. Satu-satunya kebenaran ialah, negara-negara adalah saling memerlukan untuk mencapai hasil yang substantif dan berkekalan. Ini bukan sahaja akan memanfaatkan satu-satu negara, tetapi juga populasi global. Sebab itu, kita beri banyak penekanan dalam bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi antarabangsa, biarpun pandemik lebih menuntut perhatian terhadap apa yang berlaku di dalam sempadan dan bukannya di luar.


21. Amatlah besar harapan saya, agar pandemik tidak mewujudkan falsafah nasional yang lebih memisahkan serta pendekatan individualistik terhadap kesihatan dan keperluan awam. Sebaliknya, kita memerlukan pendekatan global yang adil serta berpaksikan perpaduan dan kepercayaan.


22. Dengan tempoh kuarantin saya telah tamat, saya kini akan merancakkan semula pertemuan-pertemuan saya di peringkat antarabangsa – saya dan Kementerian sudahpun bekerjasama dengan rakan-rakan sejawat di luar negara untuk menjadualkan semula perjalanan saya yang tertunda. Menerusi artikel ini, jika rakyat Malaysia bersetuju dengan perkara-perkara yang saya bangkitkan – dengan bangganya saya akan membawa pendirian dan agenda Malaysia ke mata dunia melalui pertemuan secara bersemuka, yang mana inilah tugas hakiki saya sebagai Menteri Luar Negeri. Kita mesti akui, hubungan antarabangsa adalah tentang hubungan antara individu.


23. Dalam menempuhi saat-saat sukar ini, saya harap buah fikiran saya dapat memberikan sedikit renungan kepada kita semua. Yakinlah, tujuan dan niat saya sangat positif - untuk mengemukakan cadangan secara konstruktif dan bukannya campur tangan terhadap perkembangan sedia ada. Kita semua mempunyai harapan dan saya percaya inilah senjata paling ampuh yang akan membantu kita mengharunginya. Seperti yang disebut oleh Desmond Tutu - "Harapan ialah bilamana dapat melihat adanya cahaya di sebalik kegelapan”.


Hishammuddin Hussein

18 Jun 2021