top of page

MENYAKSIKAN 4 BUAH HELIKOPTER LEONARDO AW 139 TUDM


1. Hari ini saya mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Udara (PU) Butterworth. Tumpuan lawatan ini adalah kepada dua perkara. Pertama, menyaksikan 4 buah Helikopter Leonardo AW 139 yang diperolehi secara sewaan untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Kedua, untuk melawat Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di PU ini yang telah dan akan dinaiktaraf.


2. Berhubung perolehan Helikopter AW 139 secara sewaan ini, ia bukan sahaja selari dengan perancangan dan salah satu Teras di bawah Pelan Tindakan 2022 iaitu untuk meningkatkan lagi kesiagaan dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Malah lebih penting, helikopter ini merupakan kehendak serta keperluan end user sendiri iaitu TUDM bagi mengukuhkan usaha mempertahan kedaulatan ruang udara negara.


3. Sewaan Helikopter AW 139 ini dilaksanakan atas beberapa sebab:


i. Menampung penugasan Helikopter NURI yang telah tamat operasi.


Selaras dengan keputusan Kabinet pada 7 Ogos 2019, Helikopter NURI telah ditamatkan operasi. Ia sedikit sebanyak mengganggu peranan 12 unit Helikopter EC725AP dalam penugasan Combat Search and Rescue (CSAR), Tactical Airlift dan Utiliti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan 4 Dimensi ATM.


Bagi menampung penggunaan Helikopter EC725AP, Kabinet pada 22 Januari 2020 bersetuju agar penggantian Helikopter NURI dilaksanakan menggunakan kaedah jangka pendek secara leasing dan menerusi kaedah jangka sederhana untuk perolehan baharu.


Kaedah leasing ini bukan sahaja lebih kos efektif berbanding melaksanakan pembelian helikopter baharu, malah membolehkan TUDM memanfaatkan aset yang diperlukan dalam tempoh masa yang lebih cepat.



ii. Memastikan Aircraft Hours, kos operasi dan senggaraan Helikopter EC725AP lebih efektif.


Keberadaan Helikopter AW 139 akan mengurangkan penggunaan Helikopter EC725AP dalam latihan dan operasi. Ia sekaligus berupaya menjimatkan penggunaan aircraft hours Helikopter EC725AP. Tempoh Helikopter EC725AP untuk disenggara juga akan dapat dijarakkan. Ini membolehkan kos operasi dan senggaraan Helikopter EC725AP dapat dikurangkan sepanjang tempoh sewaan Helikopter AW 139.


iii. Mengekalkan kompetensi anak kapal Helikopter NURI.


Sewaan Helikopter AW 139 akan menjadi platform penting kepada fleet helikopter TUDM terutama anak kapal Helikopter NURI untuk mengembalikan semula kompetensi dan kepakaran mereka seterusnya memanfaatkan TUDM.





4. Untuk makluman, Helikopter AW 139 akan ditempatkan di No.3 Skuadron, PU Butterworth. TUDM memilih Helikopter AW 139 ini kerana kemampuannya untuk melaksanakan operasi yang memberikan kepentingan taktikal, operasional dan strategik kepada TUDM serta ATM. Helikopter AW 139 berkeupayaan melaksanakan peranan dan tugas utiliti fleet helikopter TUDM serta mampu dioperasi pada waktu siang dan malam.


5. Dari sudut kaedah sewaan Helikopter AW 139 ini, ia menggunapakai konsep Government Operate, Company Own and Maintain (GOCOM). Di bawah konsep ini, kesemua kos senggaraan pesawat berada di bawah tanggungjawab syarikat yang menyewakan helikopter ini.


6. Penting untuk saya maklumkan, selain kaedah sewaan, pembelian helikopter baharu turut berada dalam perancangan masa hadapan TUDM. Penggantian Helikopter NURI telah dirancang untuk dilaksanakan bermula tahun 2026. Sejumlah 12 helikopter akan diperoleh pada fasa 1 (RMKe-13 iaitu 2026 hingga 2030) dan seterusnya 12 helikopter lagi akan diperoleh pada fasa 2 (RMKe-14 iaitu 2031 hingga 2035).


7. Seperti saya nyatakan beberapa kali sebelum ini, keperluan spesifikasi bagi helikopter baharu ini tidak akan ditentukan oleh MINDEF tetapi end user sendiri iaitu TUDM. Butiran mengenainya akan dimaklumkan dari masa ke masa.


YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN

MENTERI KANAN PERTAHANAN

10 FEBRUARI 2022

bottom of page