top of page

PENGLIBATAN ATM BERI IMPAK BESAR TERHADAP USAHA TANGANI PANDEMIK DI LEMBAH KLANG

  • hishammuddinhussein
  • Sep 18, 2021
  • 2 min read

Updated: Jul 13, 2022



1. Mengambil kira situasi pandemik di Lembah Klang yang menunjukkan perkembangan positif yang mana jumlah kes harian mulai menurun, kapasiti hospital semakin terkawal dan jumlah yang telah lengkap dua dos vaksin juga semakin meningkat, Greater Klang Valley Special Task Force (GKVSTF) dengan persetujuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menamatkan pengoperasian Greater Klang Valley Task Force Tentera Darat selepas ia beroperasi selama 41 hari bagi memperkasa usaha-usaha di bawah GKVSTF.


2. Dengan penamatan operasi Greater Klang Valley Task Force Tentera Darat ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus menumpukan terhadap pelbagai lagi pengoperasian berkaitan COVID-19 di seluruh negara, selari dengan komitmen yang saya suarakan pada 2 September lepas.


3. Ia antara lain termasuklah mendirikan lebih banyak Hospital Medan ATM di negeri-negeri yang dikenalpasti oleh KKM; menambah tim Combat Medic Vaccination Team (CMVT) bagi membantu KKM melaksanakan pemberian vaksin khasnya di kawasan pedalaman; serta meningkatkan kapasiti pemberian vaksin secara pandu lalu kepada masyarakat awam.


4. Bangga untuk saya kongsikan, penglibatan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) selama 41 hari dalam GKVSTF sangat efektif dan memberi impak yang besar sekaligus amat membantu KKM dalam menangani situasi berkaitan COVID-19 di semua hospital di Lembah Klang terutama ketika kemuncak krisis tempoh hari.



5. Melalui pengoperasian ini, TDM telah mengaturgerak 1,080 anggota bagi melakukan pelbagai jenis penugasan di dalam kawasan Zon Merah COVID-19 di hospital-hospital di Lembah Klang yang merangkumi:


i. Pertama: Menugaskan Oxygen Carrier Team (OSCAR) bagi membantu proses mengangkat, mengisi semula dan menukarganti sebanyak 14,258 silinder oksigen. Penglibatan pasukan ini bukan sahaja berupaya memastikan bekalan oksigen kepada pesakit tidak terputus, malah membolehkan petugas KKM lebih menumpukan terhadap tugas-tugas perawatan yang lain.


ii. Kedua: Menempatkan Rapid Resupply Team (RRT) bagi membantu dalam proses pengambilan dan pengedaran peralatan-peralatan perubatan yang kritikal seperti katil, Oxygen Concentrators dan Ventilators ke semua hospital yang memerlukan. Dengan adanya RRT, proses tersebut dapat dilaksanakan dengan kadar kepantasan dan koordinasi yang optimum.


iii. Ketiga: Mengaturgerak Body Management Team (BMT) yang telah membantu mengurus 4,442 mayat pesakit COVID-19. Penglibatan tim ini membolehkan urusan pengendalian mayat dipercepatkan terutama ketika kemuncak krisis pandemik di Lembah Klang.


6. Tiada yang mudah bagi melaksanakan setiap operasi tersebut namun dalam apa jua keadaan, ATM tetap fokus dan memanfaatkan setiap kepakaran serta kemudahan yang dimiliki demi memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat di era COVID-19 yang mencabar ini.


7. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua 1,080 anggota TDM yang terlibat dalam Greater Klang Valley Task Force Tentera Darat atas kesanggupan bertugas sebilang masa, merisikokan nyawa dan berjauhan dengan keluarga demi menyelesaikan misi yang diamanahkan. Terima kasih juga semua anggota TDM, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia atas khidmat bakti, disiplin dan kesungguhan dalam membantu negara perangi COVID-19.



YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN

MENTERI KANAN PERTAHANAN


18 SEPTEMBER 2021


Comments


  • Instagram

©2020 HishammuddinHussein ™

bottom of page