top of page

Ucapan Penggulungan Perbahasan Belanjawan 2021 Peringkat Dasar bagi Kementerian Luar Negeri

Bismillahhirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

  1. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, kerana memberi ruang kepada saya untuk menjawab perkara-perkara yang berkaitan dengan Kementerian Luar Negeri dalam sesi Jawapan oleh Yang Berhormat Menteri-Menteri Ke Atas Perbahasan Rang Undang- Undang Perbekalan 2021 di Peringkat Dasar dalam Dewan yang mulia hari ini.

  2. Bagi pihak Kementerian Luar Negeri, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat khususnya Yang Berhormat Sik, Yang Berhormat Kuala Krai, Yang Berhormat Beaufort dan Yang Berhormat Pontian kerana perhatian dan keprihatinan di dalam mengangkat isu-isu yang berkait rapat dengan Kementerian Luar Negeri sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.


SIDANG KEMUNCAK ASEAN KE-37

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Sik kerana telah mengikuti perkembangan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-37 dan Sidang-Sidang Kemuncak Yang Berkaitan, serta telah membangkitkan perkara-perkara berkenaan pengukuhan Komuniti Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

  2. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, penganjuran kali kedua Sidang Kemuncak ASEAN secara persidangan video telah berlangsung dengan jayanya. Pelbagai perbincangan dan kesepakatan yang menyentuh kepentingan serantau serta antarabangsa telah dicapai menerusi 17 siri mesyuarat bersama Rakan-rakan Dialog ASEAN iaitu Amerika Syarikat, Australia, China, Jepun, Korea Selatan, India, New Zealand termasuk mesyuarat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

  3. Selain daripada itu, sebanyak 81 dokumen hasil yang merangkumi isu-isu daripada tiga teras utama iaitu politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya ASEAN serta kerjasama ASEAN dengan Negara- negara Rakan Dialognya telah dipersetujui oleh pemimpin- pemimpin ASEAN.

  4. Izinkan saya juga menyentuh mengenai kejayaan yang dicapai oleh Malaysia dan ASEAN dalam Sidang Kemuncak yang diadakan baru-baru ini. Antara pencapaian bermakna bagi Malaysia ialah kesepakatan Negara-negara Anggota ASEAN meluluskan Kerangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN dengan izin, ASEAN Comprehensive Recovery Framework (ACRF). Kerangka ini merupakan cadangan yang dicetuskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri ketika Sidang Kemuncak ASEAN + 3 Mengenai COVID-19 yang telah diadakan pada bulan April lalu.

  5. Persetujuan sebulat suara ini bukan sahaja meraih penghormatan Negara-negara Anggota ASEAN terhadap Malaysia. Malah, menyerlahkan keupayaan dan kepimpinan Malaysia dalam usaha memperkasa ASEAN dalam menangani cabaran serantau serta global terutama pandemik COVID-19.

  6. Selain itu, pencapaian yang membanggakan Malaysia pada Sidang Kemuncak ini ialah Malaysia berperanan sebagai negara penyelaras hubungan dialog ASEAN-Australia, dengan mencapai konsensus dalam kalangan Negara-negara Anggota ASEAN bagi membolehkan Pemimpin tertinggi ASEAN-Australia bersidang setahun sekali berbanding dua tahun sekali sebelum ini. Pencapaian ini sekaligus membuka peluang kepada kedua-dua pihak memperkukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang bagi manfaat bersama.

  7. Untuk makluman sidang dewan yang mulia ini, pencapaian signifikan ASEAN secara keseluruhan di dalam Sidang Kemuncak kali ini adalah menyaksikan kesepakatan yang dapat dicapai antara semua Negara Anggota ASEAN dan lima Negara Rakan Dialog ASEAN iaitu Australia, China, Jepun, Korea Selatan, dan New Zealand untuk menandatangani perjanjian perdagangan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

  8. Ia merupakan pencapaian yang terbesar kerana selepas lebih 8 tahun rundingan dilaksanakan akhirnya ia mendapat kesepakatan. Dengan termeterainya RCEP ini, ia dijangka akan berupaya meningkatkan integrasi ekonomi serantau seterusnya memacu pertumbuhan sektor perdagangan ASEAN demi manfaat lebih 600 juta rakyatnya terutama di era pasca pandemik ini.

  9. Selain daripada itu, ASEAN juga telah bersetuju untuk menubuhkan Dana Respon COVID-19 ASEAN dan Rizab Bekalan Perubatan Serantau ASEAN bagi Kecemasan Kesihatan Awam. Dalam pada itu, Malaysia menerusi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri turut memanfaatkan Sidang Kemuncak kali ini untuk mengetengahkan pendirian-pendirian Malaysia.

  10. Antaranya, menyuarakan kepentingan untuk semua Negara Anggota ASEAN berganding bahu dengan pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan negara lain bagi memastikan vaksin COVID-19 mudah diperolehi serta dapat dikongsi kepada semua sebaik sahaja berjaya dibangunkan.

  11. Malah, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri turut menyuarakan keperluan untuk menggunakan platform digital, kesambungan logistik dan tatacara pengendalian piawai yang selaras di antara Negara-negara Anggota ASEAN sebagai norma baru untuk memastikan kegiatan ekonomi tidak terjejas dalam konteks keadaan semasa.

  12. Malaysia juga telah menyuarakan sekali lagi mengenai Laut China Selatan, dan menuntut semua pihak agar berpegang kepada pendirian bahawa sebarang isu di perairan ini mesti diselesaikan secara aman berpandukan, dengan izin, universally recognised principles of international law, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS 1982). Ia penting demi menjamin kedaulatan serta keamanan di perairan berkenaan.

  13. Mengenai isu Rohingya, Malaysia berpendapat bahawa masalah wilayah Rakhine dan implikasinya ke atas pelarian etnik Rohingya harus ditangani dengan kadar segera. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengulangi keperluan ASEAN untuk mencari penyelesaian komprehensif kepada krisis kemanusiaan di wilayah Rakhine, Myanmar dan sekaligus isu pelarian Rohingya yang memberi kesan kepada keselamatan dan kestabilan negara-negara serantau, termasuk Malaysia. Menurut Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Malaysia tidak boleh menampung lebih ramai lagi pelarian Rohingya.

  14. Sehubungan ini, Malaysia menggesa Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) termasuk agensi-agensi PBB yang berkaitan untuk memberi kerjasama dalam mempercepatkan proses penghantaran balik pelarian Rohingya dan penempatan semula pemegang kad UNHCR ke negara ketiga. Tambahan daripada itu, Malaysia akan terus memberi tekanan menerusi platform ASEAN supaya Kerajaan Myanmar untuk melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam Preliminary Needs Assessment (PNA) yang telah disediakan oleh ASEAN-ERAT bagi melaksanakan Penilaian Keperluan Komprehensif, dengan izin, Comprehensive Needs Assessment (CAN) dalam memastikan proses repatriasi mengambil kira pandangan etnik Rohingya agar mereka dapat pulang secara sukarela, selamat dan bermaruah.

  15. Selain dari itu, Malaysia turut menegaskan pendirian berkenaan isu Palestin. Walaupun isu Palestin bukanlah isu serantau, adalah penting bagi Malaysia menggunakan platform antarabangsa dan serantau untuk menyuarakan secara konsisten pendirian Malaysia berkenaan penyelesaian konflik Palestin-Israel. Oleh yang demikian Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan saya telah menegaskan bahawa penyelesaian konflik tersebut adalah hanya menerusi, dengan izin, “Two-State Solution” dan menggesa komuniti antarabangsa dan pertubuhan antarabangsa berkaitan untuk membincangkan langkah-langkah konkrit untuk dilaksanakan bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin yang tertindas.

  16. Saya juga ingin menegaskan sekali lagi dalam Dewan yang mulia ini bahawa Malaysia akan terus bertegas untuk tetap bersatu dengan rakyat Palestin bagi menentang sebarang pencerobohan rejim Israel di bumi Palestin. Di kesempatan ini, saya ingin menzahirkan penghargaan di atas sokongan bipartisan dari Ahli-ahli Yang Berhormat Kerajaan dan Pembangkang semasa kempen, dengan izin, Unite For Palestine, yang diadakan di Parlimen Malaysia oleh Kementerian Luar Negeri dengan kerjasama Kedutaan Besar Palestin di Kuala Lumpur pada tahun ini.

  17. Secara keseluruhannya, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-37 dan Sidang-Sidang Kemuncak yang berkaitan ini dilihat sebagai satu kejayaan bagi Malaysia dan ASEAN kerana ianya berjaya meningkatkan kerjasama yang lebih pragmatik dan solidariti yang tinggi bukan sahaja di kalangan negara-negara anggota ASEAN tetapi rakan rakan ASEAN yang lain.

  18. Pada masa yang sama, ASEAN merupakan satu platform antarabangsa yang strategik untuk mengenengahkan isu-isu semasa dan ia terbukti pada Sidang Kemuncak kali ini apabila terdapat penglibatan daripada PBB dan WHO untuk bersama-sama dengan ASEAN dan Rakan-Rakan Dialog ASEAN yang lain untuk menghadapi situasi pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.


KENYATAAN ISLAMOFOBIA PRESIDEN PERANCIS


Tuan Yang di-Pertua,


  1. Saya sangat memahami akan kegusaran dan kekecewaan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kuala Krai terhadap kenyataan Presiden Perancis yang jelas berbaur Islamofobia.

  2. Sebagai sebuah negara Islam yang demokratik dan mengamalkan kesederhanaan, Kerajaan Malaysia sememangnya akan terus mempertahankan kesucian agama Islam dan junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A.W. Komitmen ini adalah merupakan satu tuntutan yang diwajibkan ke atas kita sebagai orang Islam, sama ada sebagai pemimpin atau rakyat. Sudah terang lagi bersuluh bahawa pendirian Malaysia sangat jelas dan tidak berbelah bahagi dalam isu ini. Kita mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan retorik dan provokatif yang mencemarkan nama baik agama Islam dan sebarang bentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W.

  3. Malah, sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN Ke-37 dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-11, hanya Malaysia telah menyuarakan pandangan dan mengecam tindakan pengganas yang menggunakan agama dan juga hasutan, serta kebencian dan perpecahan (hatred and divide) yang akhirnya menyuburkan sentimen Islamofobia dalam kalangan komuniti antarabangsa. Hal ini disuarakan sendiri oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

  4. Ini adalah rentetan insiden yang melibatkan karikatur Nabi Muhammad S.A.W. dan fenomena penyebaran kebencian terhadap agama Islam baru-baru ini. Selain itu juga, Malaysia telah menekankan bahawa walaupun kebebasan suara merupakan satu hak, ia juga memerlukan sifat kebertanggungjawaban.

  5. Untuk makluman Dewan yang mulia, beberapa tindakan telah pun diambil susulan daripada isu kenyataan Islamofobia Presiden Perancis. Saya sendiri telah mengeluarkan kenyataan pada 27 Oktober 2020. Kementerian Luar Negeri juga telah memanggil atau dengan izin, summon Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Perancis di Kuala Lumpur ke Wisma Putra pada 28 Oktober 2020. Ini disusuli dengan kenyataan-kenyataan media oleh Kementerian Luar Negeri pada 28 dan 30 Oktober 2020.

  6. Yang Berhormat Timbalan Menteri Luar Negeri juga telah menjelaskan dengan terperinci sewaktu sesi Kamar Khas pada 3 November 2020. Dikesempatan ini saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Pokok Sena selaku pembawa usul, serta amat menghargai kehadiran Yang Berhormat Langkawi, Yang Berhormat Jerlun, Yang Berhormat Sik, Yang Berhormat Pulai dan Yang Berhormat Lembah Pantai yang turut bersama- sama membahaskan isu ini di dalam sesi Kamar Khas. Kehadiran Ahli-Ahli Yang Berhormat menterjemahkan pendirian kukuh dan sokongan bersama semua pihak, dengan izin, bipartisan support ke atas pendirian negara.

  7. Sebagai sebuah negara majmuk dan berbilang agama, Malaysia amat komited untuk menegakkan prinsip-prinsip toleransi, kebebasan bersuara dan menghormati ekspresi sebagai hak asasi manusia selagi mana keistimewaan ini diamalkan dengan penuh hormat dan bertanggungjawab serta tidak melanggar undang- undang dan ketenteraman negara. Malaysia juga akan terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa untuk mengukuhkan prinsip kesederhanaan, dengan izin moderation, toleransi antara agama untuk mencegah dan membasmi elemen ekstremisme agama di semua peringkat.


TUNTUTAN FILIPINA KE ATAS SABAH


Tuan Yang di-Pertua,


  1. Izinkan saya mengulas isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Beaufort iaitu mengenai tuntutan Filipina ke atas Sabah. Seperti Dewan yang mulia ini sedia maklum, Yang Berhormat Beaufort juga telah mengemukakan pertanyaan jawab lisan berkaitan perkara ini dan telah dijawab oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Luar Negeri pada 12 November yang lalu. Isu ini juga pernah dijawab pada 27 Ogos dan 7 September 2020 di Kamar Khas dan di Dewan Negara. Ketika itu, semua Ahli Dewan terutamanya di Kamar Khas dari pihak Kerajaan dan Pembangkang telah bersetuju dan menyokong tindakan dan pendirian Kementerian Luar Negeri supaya tidak melayan mana-mana tuntutan ke atas Sabah.

  2. Selain itu, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga telah memberi jaminan kepada rakyat negeri Sabah sendiri pada 29 Ogos 2020 bahawa Malaysia tidak akan berkompromi terhadap apa sahaja isu melibatkan kedaulatan negeri Sabah dan akan mempertahankan Sabah sampai bila-bila.

  3. Malaysia tidak pernah mengakui dan tidak sekali-kali akan melayan sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak (Filipina atau Kesultanan Sulu) ke atas sebahagian atau keseluruhan negeri Sabah. Status negeri Sabah dalam Persekutuan Malaysia adalah sah dan diterima oleh masyarakat antarabangsa. Di sini, ia adalah jelas dan terbukti bahawa isu tuntutan ke atas Sabah adalah tidak berasas dan tidak relevan memandangkan Sabah merupakan sebahagian daripada Malaysia sejak tahun 1963. Kerajaan Malaysia akan terus kekal konsisten dengan pendirian tegas untuk tidak melayan mana-mana tuntutan ke atas negeri Sabah.

PERANAN PERWAKILAN MALAYSIA MEMPROMOSIKAN

PRODUK “MADE IN MALAYSIA” DI LUAR NEGARA


Tuan Yang di-Pertua,

  1. Yang Berhormat Pontian telah memberikan cadangan agar Perwakilan Malaysia di luar negara lebih agresif dalam menjual pelbagai produk, dengan izin, “Made in Malaysia”. Saya ucapkan terima kasih dan mengambil maklum cadangan yang dikemukakan tersebut. Walaupun ia bukanlah, dengan izin, core business, Kementerian Luar Negeri, namun Kementerian ini tetap menjalankan usaha-usaha untuk membantu mempromosikan pelbagai produk buatan Malaysia.

  2. Untuk makluman Yang Berhormat Pontian dan juga semua Yang Berhormat, saya ingin berkongsi di sini bahawa, pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia, di samping menjalankan fungsi-fungsi utama termasuk perkhidmatan konsular kepada rakyat Malaysia di luar negara, mereka turut menyokong aktiviti-aktiviti promosi produk agrikomoditi seperti getah dan sawit di luar negara yang dijalankan oleh agensi-agensi dan syarikat-syarikat Malaysia . Di samping itu mereka juga menjalankan aktiviti promosi seperti eksport produk buatan Malaysia, promosi pelancongan (termasuk health tourism), pendidikan dan program Malaysia My Second Home (MM2H).

  3. Saya juga ingin memaklumkan Dewan yang mulia ini bahawa pejabat Perwakilan kita sentiasa bekerjasama erat dengan wakil- wakil dari kementerian dan agensi-agensi Malaysia yang beroperasi di luar negara sama ada di bawah Perwakilan Malaysia atau sebagai entiti yang berasingan. Operasi antara agensi ini adalah dengan berpandukan kepada Sistem Pentadbiran Kerajaan Malaysia di Luar Negeri (SPKM) dengan Kementerian Luar Negeri sebagai agensi utama (lead agency). Antara agensi-agensi Kerajaan yang beroperasi di luar negara adalah Tourism Malaysia, MATRADE, MIDA dan Education Malaysia. Sebagai contoh, MATRADE mempunyai lebih daripada 40 pejabat perdagangan seperti di Arab Saudi, Amerika Syarikat, Cambodia, China, Jerman, Indonesia, India, Jepun, Russia dan United Kingdom.

  4. Usaha promosi juga diketengahkan menerusi platform hubungan baik Malaysia dengan negara-negara sahabat. Semasa lawatan rasmi Menteri Luar Negeri China ke Malaysia pada 12 dan 13 Oktober 2020, Kerajaan China telah memberikan komitmen untuk meningkatkan pengambilan minyak sawit sebanyak 1.7 juta tan dari Malaysia. Ini adalah antara contoh usaha dan inisiatif Kementerian Luar Negeri melangkaui core business, dengan izin, dalam membantu Malaysia hasil daripada hubungan dua hala yang terjalin erat antara Malaysia dan China.

  5. Malah, tiga hari yang lepas pada 23 November 2020, saya telah mengadakan panggilan video bersama rakan sejawatan saya, Tuan Yang Terutama Josep Borrel, Perwakilan Tinggi dan Timbalan Presiden Kesatuan Eropah (EU). Saya menyuarakan berkenaan kepentingan minyak sawit sebagai komoditi utama negara, serta membangkitkan perkara-perkara yang menjadi kepentingan Negara.

  6. Antaranya, menggesa EU mengiktiraf Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan membangkitkan bahawa Regulated Energy Directive (RED) II EU yang telah disemak semula pada tahun 2018 telah menyebabkan tanggapan negatif terhadap kemampanan minyak sawit Malaysia di Eropah. Saya juga telah mencadangkan kepada EU supaya cadangan untuk menyekat penggunaan minyak sawit termasuklah biodiesel sawit di Eropah yang akan berkuatkuasa pada Julai 2021 dapat dikaji semula; dan menekankan bahawa minyak sawit adalah komoditi utama yang amat penting bagi Malaysia memandangkan ia secara langsung menjejaskan pendapatan dan kehidupan lebih daripada 500,000 pekebun kecil di sektor minyak sawit.

  7. Saya turut memaklumkan bahawa Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Indonesia dalam memuktamadkan Terma Rujukan bagi Jawatankuasa Kerja bagi membincangkan minyak sayuran antara EU dan Negara Anggota ASEAN yang berkaitan supaya perbincangan melalui jawatankuasa tersebut dapat dimulakan dengan kadar segera. Selain itu, saya menyatakan bahawa Malaysia akan memfokuskan ke pasaran negara India yang merupakan pengimport terbesar hasil sawit Malaysia.

  8. Saya turut mengambil maklum bahawa Yang Berhormat Pontian telah memohon contoh negara-negara baru yang berjaya ditembusi komoditi seperti getah dan sawit. Walaupun perkara ini adalah di luar skop Kementerian, namun sebagai maklumat tambahan, Kementerian ingin berkongsi dengan dewan yang mulia ini bahawa bagi pasaran getah, ia merangkumi pasaran utama seperti Amerika Syarikat, Eropah, China, India, Indonesia, Vietnam, Mexico, Brazil dan Russia. Bagi pasaran sawit pula, penerokaan pasaran baru dijalankan menerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) yang mempunyai sepuluh (10) pejabat serantau di beberapa negara pengimport utama minyak sawit iaitu di Belgium, Amerika Syarikat, Afrika Selatan, Pakistan, India, Bangladesh, Mesir, Russia, Turki dan China. Di sini, ingin saya memberikan jaminan bahawa Kementerian Luar Negeri akan terus memainkan peranannya dalam membantu usaha-usaha meneroka pasaran-pasaran baru untuk memasarkan produk-produk Malaysia di luar negara.





PENUTUP


Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Luar Negeri adalah merupakan sebuah Kementerian yang unik. Sebagai pendukung dan pelaksana terhadap Dasar Luar Negeri, strategi dan program yang dirancang juga merupakan kesinambungan kepada dasar-dasar domestik yang digubal oleh kementerian-kementerian sedia ada.

  2. Justeru, peruntukan kewangan yang diperolehi bukan sahaja untuk manfaat Kementerian ini semata-mata. Malah, ia turut memberi manfaat terhadap usaha mengukuhkan keberkesanan dasar-dasar domestik negara yang diusahakan oleh kementerian yang lain di persada antarabangsa.

  3. Apa yang lebih membanggakan saya sebagai Menteri Luar Negeri, di sebalik kekangan peruntukan saban tahun, seluruh warga Kementerian Luar Negeri tetap melaksanakan setiap amanah yang diberikan. Semangat cintakan negara tetap diterjemahkan dalam apa jua keadaaan demi melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

  4. Perkara ini dibuktikan semasa kemuncak pandemik COVID-19, Kementerian Luar Negeri telah berjaya membawa pulang seramai 26,870 orang rakyat Malaysia ke tanah air, hasil usaha dan kerja keras sekitar 300 orang Front Liners di Wisma Putra serta Perwakilan-Perwakilan Malaysia di seluruh dunia yang beroperasi tanpa mengenal waktu. Segala aduan dan permasalahan rakyat turut didengari dan diusahakan sebaiknya untuk diselesaikan melalui talian 24 jam Taskforce COVID-19. Walaupun segalanya terhad, ia tidak pernah membataskan semangat dan usaha kami di Kementerian ini untuk memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat dan negara.

  5. Justeru, sebelum mengakhiri penggulungan, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan tulus ikhlas saya kepada seluruh warga Kementerian Luar Negeri yang terus komited mencurahkan khidmat dan bakti mereka, termasuk dalam sepenuh hati membantu menjayakan pelbagai usaha Kerajaan dalam menangani krisis COVID-19. Apa yang nyata, segala jasa dan pengorbanan mereka amat besar ertinya kepada rakyat dan negara.

  6. Mewakili Kementerian Luar Negeri, saya turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang berjuang tanpa henti demi memastikan negara yang kita cintai ini akhirnya akan bebas dan selamat daripada pandemik COVID-19. Sebagai Menteri Luar Negeri, saya memberikan jaminan bahawa Kementerian ini sentiasa berdiri teguh bersama- sama petugas barisan hadapan di dalam menempuhi cabaran pandemik COVID-19 ini.


Sekian, terima kasih.


Hishammuddin Hussein

Menteri Luar Negeri

26 November 2020





bottom of page