top of page

USAHA TENTERA LAUT DIRAJA MALAYSIA PERTAHAN KESELAMATAN SABAH DIPERKUKUH


1. Tumpuan lawatan kerja saya ke Sabah hari ini ialah bagi menyaksikan penyerahan Helikopter AW139 kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Penting untuk saya maklumkan, Helikopter AW139 yang diserahkan ini merupakan aset terbaru TLDM yang dibeli khusus bagi meningkatkan keupayaan operasi TLDM terutama dalam memelihara keselamatan dan kedaulatan negeri Sabah.


2. Secara keseluruhan, pembelian yang dibuat ialah sebanyak tiga (3) buah Helikopter AW139. Dua (2) daripadanya telah diterima dan diserahkan hari ini manakala sebuah lagi dijangka sampai pada bulan September. Selari dengan penekanan saya sebelum ini, pembelian Helikopter AW139 dibuat berpandukan kehendak end user sendiri iaitu TLDM yang amat memerlukan Helikopter Operasi Maritim (HOM).


3. Perolehan Helikopter AW139 ini membolehkan rondaan bagi tujuan penguatkuasaan maritim dapat dilaksanakan sekerap mungkin bersama aset-aset sedia ada, sekaligus berupaya mengukuhkan lagi pengawasan ruang udara di perairan maritim Sabah dan Sarawak yang berkeluasan 315, 263 km persegi serta meningkatkan lagi kekuatan inventori TLDM di Armada Timur.



4. Keberadaan aset-aset baharu seperti Helikopter AW139 ini juga merupakan salah satu usaha yang berupaya mengekalkan moral dan semangat para anggota ATM khususnya TLDM untuk melaksanakan penugasan operasi yang sentiasa mencabar.


5. Penting juga untuk saya maklumkan, dengan pembelian dan penyerahan Helikopter AW139 ini, sebuah skuadron baharu iaitu Skuadron 503 telah ditubuhkan dan saya sendiri merasmikannya hari ini. Selain meningkatkan kecekapan pengoperasian HOM, Skuadron 503 turut berperanan melaksanakan beberapa lagi tugasan utama iaitu:-


i. Pemantauan Zone Maritim Malaysia serta Maritime Domain Awareness (MDA).

ii. Over the Horizon Targeting (OTHT).

iii. Operasi Pasukan Khas.

iv. Latihan krew udara dan warga kapal.


6. Bukan itu sahaja, Skuadron 503 ini juga akan melaksanakan tugas-tugas sekunder merangkumi tugas membantu Operasi Mencari dan Menyelamat; membantu misi Medical Evacuation (Medevac) dan Casualties Evacuation (Casevac); serta membantu misi Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR).


7. Sebagai permulaan, Skuadron 503 ini akan beroperasi dengan kekuatan seramai 25 Pegawai dan 92 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP). Kesemua mereka telah diberikan penugasan khusus di empat bahagian. Ia termasuk Bahagian Keselamatan Penerbangan; Bahagian Operasi dan Latihan; Bahagian Pentadbiran dan Logistik; serta Bahagian Kejuruteraan Udara.


8. Skuadron 503 akan berada di bawah perintah operasi Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK) yang turut saya rasmikan hari ini. SUKK ini penting bagi meningkatkan lagi kecekapan unit pentadbiran, pengurusan logistik dan penguasa operasi penerbangan khususnya di Armada Timur.


9. SUKK yang terletak di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu ini memainkan fungsi utama dalam pengoperasian pesawat helikopter TLDM serta ATM di pangkalan ini agar kekal efisien dan selamat. Ia akan beroperasi dengan kekuatan seramai 7 Pegawai dan 42 anggota LLP.


10. Selain Skuadron 503, terdapat satu lagi skuadron yang berada di bawah perintah operasi SUKK iaitu Skuadron 601. Skuadron ini menempatkan Unmanned Aerial System iaitu 12 unit Unmanned Aerial Vehicle (UAV), 4 unit UAV Launcher dan 4 unit UAV Recovery.


11. Saya juga ingin menegaskan, usaha memelihara kedaulatan dan keselamatan Sabah sentiasa dilipatgandakan serta dilaksanakan secara menyeluruh. Tidak hanya terhad kepada TLDM, pelbagai lagi usaha sedang dan akan dilaksanakan termasuk melalui Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).


YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN

MENTERI KANAN PERTAHANAN

1 JULAI 2022

bottom of page