1. Menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan hari ini, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) diperuntukkan sejumlah RM778 juta. Daripada jumlah ini, RM703.2 juta merupakan perbelanjaan pengurusan manakala RM74.8 juta perbelanjaan pembangunan.
2. Seperti yang turut diumumkan Menteri Kewangan tadi, peruntukan Wisma Putra ini termasuklah bagi menaiktaraf infrastruktur serta kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi di Wisma Putra serta pendigitalan perkhidmatan konsular Malaysia di luar negara.
3. Sebagai Menteri Luar, saya menyambut baik dan berterima kasih kepada Kementerian Kewangan atas peruntukan ini. Sesungguhnya, ia bertepatan dengan keperluan Wisma Putra, terutama ketika era pandemik ini memandangkan sebahagian besar perbincangan, komunikasi, mesyuarat serta persidangan melibatkan saya dan kepimpinan Wisma Putra dengan para pemimpin di seluruh dunia dilaksanakan secara atas talian. Situasi ini sekaligus memerlukan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi yang moden serta stabil.
4. Secara keseluruhannya, Wisma Putra akan berusaha sedaya upaya memanfaatkan peruntukan RM778 juta ini demi mempertahankan kepentingan Malaysia di persada antarabangsa, mengukuhkan peranan Pejabat-Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara, membela kebajikan warga Wisma Putra di seluruh dunia selain menjayakan perancangan Kerajaan berkaitan pandemik Covid-19.
5. Dalam pada itu, saya percaya di era pandemik yang mencabar ini, kerjasama antara setiap Kementerian jauh lebih mustahak berbanding sebelum ini. Malah, setelah meneliti pembentangan Belanjawan 2021 tadi, penting untuk saya nyatakan bahawa selain menumpukan terhadap perancangan di Wisma Putra, Kementerian saya juga sentiasa bersedia memikul tanggungjawab yang melangkaui peranan sedia ada. Wisma Putra akan memberikan komitmen sepenuhnya bagi membantu Kementerian-Kementerian lain menjayakan usaha serta inisiatif yang bersesuaian dengan bidang kuasa Wisma Putra seperti berikut :-
A. Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) Dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
- Wisma Putra akan terus bekerjasama rapat dengan MOSTI dan KKM dalam usaha memastikan Malaysia mendapat first mover advantage, atau negara penerima manfaat terawal vaksin Covid-19 sebaik sahaja ia berjaya dibangunkan. Baru-baru ini Wisma Putra telah berjaya mendapatkan persetujuan China untuk mengutamakan Malaysia sebagai penerima vaksin yang dibangunkan mereka.
- Usaha ini tidak akan berhenti setakat ini sebaliknya Wisma Putra, MOSTI dan KKM akan terus menggiatkan usaha bagi mendapatkan vaksin menerusi pendekatan diplomasi vaksin. Ini sejajar dengan pengumuman Menteri Kewangan hari ini untuk menaikkan siling Kumpulan Wang COVID-19 kepada RM65 billion yang mana antara tujuannya ialah perolehan vaksin. Wisma Putra juga akan bantu sehabis baik demi menjayakan perancangan Kerajaan seperti diumumkan hari ini untuk menyertai program COVID-19 Vaccine Global Access atau COVAX.
B. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
- Selain itu, Wisma Putra juga sedia membantu menjayakan perancangan Kerajaan menerusi Belanjawan 2021 untuk merancakkan pertumbuhan dan meningkatkan daya saing industri sawit menerusi inisiatif program pemilikan sijil Minyak Sawit Mampan. Ini selari dengan komitmen yang saya suarakan beberapa kali sebelum ini iaitu Wisma Putra akan terus berusaha mencari pasaran-pasaran baharu bagi memasarkan produk kelapa sawit.
C. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan
- Wisma Putra akan membantu memperkasa sektor pertanian memandangkan sektor ini menyumbang 7.1 peratus daripada KDNK seperti yang disebut oleh Menteri Kewangan tadi. Ini termasuklah membantu menerokai ruang pasaran baharu bagi produk makanan berasaskan sektor pertanian negara. Wisma Putra juga akan menjadikan forum-forum antarabangsa untuk merancang pelaksanaan inisiatif-inisiatif baharu berkaitan sekuriti makanan.
D. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
- Wisma Putra bersedia membantu merealisasikan perancangan Kerajaan dalam Belanjawan 2021 di bawah matlamat kelangsungan perniagaan iaitu untuk memacu pelaburan ke dalam negara. Wisma Putra juga menyambut baik perancangan Kerajaan seperti diumumkan hari ini untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi aktiviti perkhidmatan bernilai tinggi. Dalam konteks ini, Wisma Putra akan mengambil langkah segera dengan memanfaatkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 minggu hadapan dan APEC 2020 bagi meyakinkan negara-negara ini untuk menjadi rakan strategik ekonomi Malaysia.
E. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
- Memahami kekangan yang dihadapi khususnya oleh pelajar Malaysia di luar negara ekoran pandemik Covid-19, Wisma Putra menerusi Perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara akan terus menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada mereka. Wisma Putra juga akan membantu memudahcara kerjasama antara KPT dengan Kementerian sama di negara-negara terlibat.
6. Dalam pada itu, Wisma Putra juga menyokong penuh dan akan membantu sehabis baik menjayakan perancangan Kerajaan di bawah agenda matlamat pembangunan lestari untuk menubuhkan Dana Amanah Malaysia-SDG atau MySDG Trust Fund dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia. Saya percaya, perancangan ini akan dapat dilaksanakan dengan baik memandangkan kerjasama sedia ada antara Malaysia dengan PBB sememangnya cukup erat.
7. Bentuk kerjasama dengan Kementerian-kementerian lain yang saya nyatakan ini hanya sebahagian dalam usaha mendepani era pasca pandemik. Sesungguhnya, Wisma Putra bersedia bekerjasama dengan semua Kementerian demi kepentingan negara dengan memanfaatkan hubungan diplomasi Malaysia dengan rakan negara di seluruh dunia. Komitmen Wisma Putra ini bertepatan dengan tema Belanjawan 2021; ‘Teguh Kita, Menang Bersama’. InsyaAllah.
Comments